| PENGALAMAN DI UNEP PADA 5 FEBRUARI 2007 5 Februari 2007 , hari yang ditunggu–tunggu telah tiba selepas berbulan-bulan kami membuat persediaan untuk persembahan di Majlis Persidangan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) ke-24. Jadi, pada hari itu kumpulan ‘Tears Of Trees’ (TOT) bergerak dari tempat penginapan kami , di Grand Hotel Regency, ke ibu pejabat UNEP, Nairobi dengan menaiki lima buah bas dan dua buah van. Apabila kami mula-mula sampai di hadapan kawasan UNEP, pegawai-pegawai mereka kelihatan gelisah kemudian diikuti dengan wajah lega apabila melihat kami tiba. Maunya tidak, kami terlewat agak-agak 30 minit ! Maklumlah, bukannya senang hendak memastikan semua 45 peserta lengkap dengan pakaian persembahan, semua alat-alat keperluan dibawa, ditambah lagi dengan kesesakan lalu lintas di Nairobi. Oleh kerana kelewatan kami, bas-bas dan van-van kami dibenarkan masuk terus ke kawasan UNEP tanpa pemeriksaan sekuriti di pintu utama. Kumpulan kami, telah berjalan ke bangunan UNEP, kira-kira 500 meter dari pintu utama tadi kecuali mereka yang membawa alat-alat muzik dengan van. Sambil berjalan saya sedar alangkah indahnya suasana persekitaran di kawasan UNEP, penuh dengan pokok-pokok yang rendang dan rumput hijau seperti hamparan. Di kiri kanan lorong untuk berjalan, terdapat banyak tiang bendera yang mengibar bendera-bendera negara Bangsa-Bangsa Bersatu. Saya berasa sangat bangga melihat bendera Malaysia berkibar. Kami mengira bilangan bendera- bendera tersebut sambil berjalan dengan hati yang riang dan gembira. Kumpulan ’TOT’ mengalas perut dengan makanan ringan, yang disediakan oleh UNEP, sebelum persembahan diadakan. Selepas itu, kami beratur menunggu dif-dif berhormat tiba. Semasa ketibaan Yang Berhormat, Naib Presiden Kenya, semua menteri di dalam dewan berdiri untuk menyambut ketibaannya. Setelah ucapan pembukaan, sampailah saat yang dinanti-nanti untuk membuat persembahan dihadapan pembesar-pembesar termasuk 100 menteri alam sekitar dari seluruh dunia. Jes Ibrahim memulakan nyayiannya dengan bersungguh-sungguh dan baik sekali. Kami sekumpulan telah membuat persembahan yang terbaik dan ’ impressive’. Semasa kami sedang menyanyi lagu ’Pokok Pokok’, seorang menteri di hadapan saya kelihatan gembira dan kagum mendengar nyanyian kumpulan TOT. Kami telah menyentuh hati kebanyakan hadirin di dalam dewan tersebut. Ada hadirin yang mengalir air mata. Selepas persembahan, kami diajak untuk menyanyi lagu ’Let Us Join’ bersama kumpulan Globetree dari Sweden,Tanzania,Uganda, dan Kenya. Maksud lagu ini ialah kita sedunia bersatu melalui air. Dua orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Nuha dan Yeop, mewakili Malaysia untuk menuang air kedalam bekas di atas pentas sebagai simbol bahawa kita sedunia bersatu. Sesudah selesai persembahan, kumpulan ‘TOT’ dan Globetree bergerak ke sebatang pokok yang besar, rendang dan teduh, dalam kawasan UNEP, untuk menjalankan acara berdialog bersama beberapa menteri alam sekitar dari Sweden, Uganda, Kenya, Tanzania, Mexico. Yang sedihnya, menteri alam sekitar Malaysia tidak mengambil bahagian kerana tidak dapat hadir. Pelajar-pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk mengemukakan soalan-soalan berkaitan dengan alam sekitar kepada menteri-menteri itu. Kumpulan ’TOT’ juga dapat berkenal-kenalan dengan pelajar-pelajar Sweden,Uganda,Tanzania, Kenya. Kami menyambut kejayaan dan melepaskan rasa lega dengan tarian Mambo ‘impromptu’ oleh kumpulan nyanyian ’TOT’. Sebagai acara penutup, kami bergerak ke kawasan lain untuk memberi pendapat tentang apa yang dipelajari semasa di UNEP pada hari yang bersejarah itu. Saya, sebagai anak Malaysia, berasa sangat gembira dan bangga, dapat mengambil bahagian dalam persembahan di hadapan seratus menteri sedunia untuk menyuarakan rintisan pokok-pokok. Saya harap kumpulan ‘TOT’ telah mencapai matlamat kami untuk membangkitkan kesedaran diantara menteri-menteri itu dan juga kepada masyarakat supaya pokok tidak ditebang sewenang-wenangnya hanya demi kekayaan dan kepentingan diri. Penebangan pokok juga perlu di kawal dan pihak menebang perlu menanam semula pokok yang baru sebagai pengganti. Tindakan ini juga boleh mengurangkan pencemaran,kepanasan, dan masalah tanah runtuh. Akhir sekali, saya berharap kumpulan ‘TOT’ tetap akan meneruskan usaha, seperti yang telah di buat di Nairobi, untuk mempertahankan pokok dan untuk menimbulkan kesedaran kepada masyarakat di seluruh dunia. Terima kasih Uncle Jes dan keluarga kerana mencipta lagu ‘Pokok-pokok’ yang penuh bermakna itu, dan juga dengan ‘catchy tune’nya yang sedap didengari, apatah lagi di nyanyikan !! Written by: Mohamad Ariff B. Zainal Rashid (Member Of Tear Of Trees Group) |